Proses Jawatankuasa Pendamai Gagal Terus Ke Prosedur Hakam

Setelah Mahkamah Syariah mensabitkan berlakunya syiqaq, satu proses yang dinamakan Hakam Pertama atau Hakam Islah akan dimulakan. Dalam proses ini, setiap pasangan, iaitu suami dan isteri, dikehendaki mengemukakan seorang ahli keluarga lelaki yang beragama Islam untuk dicadangkan sebagai Hakam yang akan mewakili kepentingan masing-masing. 

Pada peringkat ini, Hakam berperanan sebagai mediator yang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan konflik rumah tangga dan mendamaikan pertelingkahan yang timbul. Selain itu, Hakam Peringkat Pertama atau juga dikenali sebagai Hakam Islah, akan berusaha mendapatkan kuasa prinsipal daripada kedua-dua pihak untuk menyerahkan kuasa talak. 

Setelah dilantik secara rasmi oleh mahkamah, Hakam akan menjalankan majlis tahkim bersama pasangan tersebut, mengikut kaedah dan panduan yang ditetapkan. Kebiasaannya, majlis tahkim ini akan diadakan di mahkamah dengan menggunakan kemudahan yang disediakan pada hari yang sama. 

Namun, undang-undang juga membenarkan majlis tahkim diadakan di mana-mana lokasi yang dirasakan sesuai dan praktikal, dengan tempoh masa yang dibenarkan adalah 30 hari. 

Hakam juga diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh tersebut sebanyak 30 hari lagi jika diperlukan. 

Setelah selesai majlis tahkim, Hakam akan menyediakan laporan, sama ada secara lisan atau bertulis, untuk dibentangkan di hadapan Hakim Syarie. Sekiranya Hakam berjaya menyelesaikan masalah pasangan tersebut, maka kes akan dianggap selesai. Namun, sekiranya Hakam gagal mencapai penyelesaian, Hakim Syarie akan mengarahkan Hakam untuk melafazkan cerai terhadap isteri. 

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, Hakam seringkali keberatan untuk melafazkan cerai. Oleh itu, Hakim Syarie akan membatalkan perlantikan Hakam tersebut dan meneruskan prosiding ke peringkat Hakam Peringkat Kedua sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 48 (4), bagi melantik Hakam peringkat kedua dan seterusnya.

Di bawah ini saya bawakan ringkasan tentang proses Hakam Pertama :

  • Selepas Mahkamah Syariah membuat sabitan syiqaq, Hakam Pertama akan dibentuk.
  • Suami dan isteri akan mencadangkan seorang ahli keluarga lelaki Islam sebagai Hakam masing-masing.
  • Hakam akan cuba menyelesaikan masalah pasangan dan mendamaikan pertelingkahan.
  • Hakam akan berusaha mendapatkan kuasa prinsiple dari suami dan isteri untuk menyerahkan kuasa talaq.
  • Majlis tahkim akan dijalankan dalam tempoh 30 hari, dengan pilihan untuk melanjutkan 30 hari lagi.
  • Hakam akan menyediakan laporan selepas majlis tahkim untuk dibentangkan di hadapan Hakim Syarie.
  • Jika berjaya, kes selesai. Jika tidak, Hakim Syarie akan mengarahkan Hakam melafazkan cerai.
  • Jika Hakam enggan melafazkan cerai, Hakim Syarie akan membatalkan perlantikan Hakam dan meneruskan prosiding Hakam Peringkat Kedua dan Hakam Kuasa Penuh.

Ulasan

Catatan Popular