Kelebihan Membaca Selawat Ini
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ عَدَدَ مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ مِنْ خَلْقِكَ، وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ كَمَا يَنْبَغِي لَنَا أَنْ نُصَلِّي عَلَيْهِ، وَصَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ كَمَا أَمَرْتَنَا أَنْ نُصَلِّي عَلَيْهِ.
Ya Allah, rahmatilah Penghulu kami, Nabi Muhammad, seorang Nabi sebanyak mana sesiapa sahaja yang berselawat ke atas Baginda daripada makhluk-Mu, rahmatilah Penghulu kami, Nabi Muhammad seorang Nabi seperti mana sewajarnya untuk kami berselawat ke atas Baginda dan rahmatilah Penghulu kami, Nabi Muhammad seorang Nabi seperti mana Engkau telah memerintahkan kami untuk berselawat ke atas Baginda.
Imam As-Suyuthi menyebutkan riwayat dalam kitabnya Jam' al-Jawami daripada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq, di mana beliau berkata: "Aku pernah duduk di sisi Rasulullah . Kemudian seorang lelaki datang kepada Nabi dan memberi salam ke atas Baginda. Lalu Baginda menjawab salamnya. Wajah Baginda berseri-seri dan menyuruhnya duduk di sisi Baginda. Setelah lelaki itu menyelesaikan hajatnya bersama Rasulullah dan pergi, Baginda bersabda: 'Wahai Abu Bakar, amalan lelaki ini pada setiap hari diangkat (ke langit) seperti amalan semua penduduk bumi.' Aku (Abu Bakar) bertanya: 'Bagaimanakah boleh begitu?' Baginda menjawab: 'Sesungguhnya pada waktu pagi, dia berselawat ke atasku 10 kali seperti selawat seluruh makhluk.' Aku (Abu Bakar) bertanya lagi: 'Bagaimanakah boleh begitu?' Baginda bersabda: 'Dia membaca (merujuk selawat di atas)."
(Riwayat Imam Ad-Darulquthni)
Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi telah menukilkannya dalam beberapa tulisannya seperti dalam kitab Qurrah al-'Ain.
(Diijazahkan oleh Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith. Lihat An- Nujum az-Zahirah)
Dikutip dari Buku Karangan Ustaz Muhadir Haji Joll , Amalan Orang Soleh.
Ulasan