MUTA'AH

 


Firman Allah dalam surah al Baqarah:


لا جناح عليكم ان طلقتم النساء مالم تمسوهن أو تفرضوالهن فريضة ومتعوهن على الموسع قدره وعلى المقتر قدره متعا بالمعروف حقا على المحسنين.


Maksud potongan ayat Al-Quran di atas yang bermaksud: "Tidaklah ada halangan atas kamu jika kamu mentalak perempuan-perempuan, selama kamu tidak menyentuh mereka, atau sebelum kamu tentukan kepada mereka mahar yang difardhukan dan berilah kepada mereka bekal (muta'ah); iaitu bagi orang yang berkelapangan sekadar kemampuannya, dan bagi orang yang berkesempitan menurut kadarnya pula, iaitu bekalan yang sepatutnya. Menjadi kewajipan bagi orang-orang yang ingin membuat kebajikan". (Al-Baqarah 236)


Mengiku Imam Syafie (Al - Nawawi, Mihhaj al- Thalibin, hlm. 91-92) mut'ah itu wajib diberikan kepada isteri samada dia diceraikan sebelum disetubuhi atau sesudah disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum. 


Ianya perlu dibayar dalam semua bentuk perceraian bagi perempuan yang diceraikan kecuali dalam kes perempuan yang diceraikan setelah maharnya ditentukan dan percerainan itu berlaku sebelum persetubuhan. 

Meskipun begitu pemberian ini hanya diwajibkan apabila suami yang menceraikan isterinya, dan bukan perceraian yang diminta atau dilakukan melalui permintaan isteri. Ianya boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan lain-lain barang.


Di Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak dan Johor diperuntukkan, mana-mana perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya menuntut kepada kadi kerana pemberian saguhati atau muta'ah dan kadi itu selepas daripada mendengar kedua-dua pihak bolehlah memerintahkan pembayaran yang berpatutan mengikut Undang-Undang Islam. (Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Selangor 1952, S. 130; Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' Melaka 1959, S124; Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Pulau Pinang 1959, S. 125; Undang-undang Pentadbiran Hukum Syara' Negeri Sembilan 1960, S. 125; Undang-undang Pentadbiran Hukum Syara' Perak 1965, S. 130)


Di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Kedah dan Terengganu diperuntukkan, selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta'ah atau pemberian saguhati kepada mahkamah. 

Kemudian mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syara'. ( Enakmen Keluarga Islam Kelantan, 1983, S. 44; Enakmen Keluarga Islam Kedah, 1984, S. 47; Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, 1984, S. 56)


Di Perlis diperuntukkan, seseorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya boleh memohon kepada kadi kerana pemberian saguhati atau muta'ah. 

Selanjutnya kadi lepas daripada mendengar kedua-dua pihak bolehlah memerintahkan pembayaran yang berpatutan.(Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Perlis 1963, S. 94 - Lihat kes Syed Bulat VS Intan (1973) 2JH., hlm. 257.)


Tidak ada sebarang peruntukkan yang tertentu untuk pembayaran muta'ah bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia Sabah dan Sarawak. Tetapi mahkamah bolehlah memerintahkan pembayaran dibuat mengikut peruntukkan yang ada dalam Syariat Islam.


Banyak kes-kes perceraian yang melibatkan tuntutan muta'ah telah dibuat. Kebanyakan para suami tidak memahami tentang kewajipan mereka untuk membayar muta'ah setelah berlakunya perceraian. Dalam kes Rahaniah V Hj Ujang, (Rahaniah VS Ujang, (1984), 4 J.H., hlm. 270) pihak isteri telah menuntut bayaran nafkah iddah sebanyak $300.00 sebulan, jumlahnya $1,000.00 dan muta'ah sebanyak $10,000.00. Mahkamah memutuskan bahawa suami hendaklah membayar nafkah iddah dengan bayaran sebanyak $6.00 sehari, jumlahnya $600.00 dan mut'ah sebanyak $2,000.00.


Dalam kes Asiaamal V Abdul Jabar, (Asiamal VS Abdul Jabar (1984), 4.J.H, hlm. 262) si isteri menuntut nafkah iddah sebanyak $270.00, nafkah diri kebelakangan bagi jangka waktu 12 bulan, 960 ringgit dan muta'ah sebanyak $2,000.00 mahkamah memutuskan si suami hendaklah membayar nafkah iddah $270.00, nafkah kebelakangan $740.00 dan muta'ah sebanyak $400.00.


Dalam kes Tengku Anun Zaharah bt Tengku Abdul Hamid V Dato Dr Hussein bin Mohd Yusof, (Tengku Anum Zaharah BT. Tengku Abd Hamid VS Dato' Dr. Hussein bin Mohd Yusof, (1983), 3 JH, hlm. 125) kes ini merupakan kes tuntutan muta'ah yang paling tinggi pernah dibuat di Malaysia di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. 

Tengku Anum telah menuntut bayaran mut'ah sebanyak $25,200 ringgit, dan lain-lain bayaran. Mahkamah memutuskan bahawa si isteri berhak mendapat bayaran mut'ah sebanyak $25,200 dan suami hendaklah membuat pembayaran tersebut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu pada 19.10.1980 dan pembayaran hendaklah dibuat melalui peguam pemohon.


Dalam kes Hj Abdullah b. Hj. Hamzah V Cik Bon bt Yaacob,(Hj Abdullah bin Hj Hamzah vs Cik Bon bt Yaacob (1983), 3 JH. hlm.110) isteri telah menuntut mut'ah dari suaminya yang menceraikannya tanpa sebab yang munasabah. Mahkamah memutuskan suami hendaklah membayar muta'ah sebanyak $1,000.00 kepada isterinya. Kes ini ialah kes ulangan bicara dari Mahkamah Kadi Kedah. Mahkamah Rayuan Ulangbicara Negeri Kedah akhirnya mengesah- kan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Kadi.


Dalam minggu ini isu ini asyik bermain-main di bibir mulut dalam ofis. Jadi tak semena-mena mencari tulisan berkaitan hal ini. AlhamduliLlah jelas sedikit.


#membacaanakkuncipengetahuan #membacajambatanilmu


Ulasan

Catatan Popular