Ilmu Perisai Diri

Insan yang baik bukan hanya yang peduli dengan kualiti prestasi diri dan nilai hidup sehariannya. Lebih daripada itu, insan yang baik adalah yang sentiasa sahaja mencari dan menimba ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi dalam bab ilmu agama.

(Sedang menimba ilmu Allah dengan ahlinya - Gambar di Masjid Ghufran, Manjoi, Ipoh)

Paling penting ialah ilmu berkaitan dengan panduan hidup iaitu Ilmu Al-Qur’an dan As-Sunnah. RasuluLlah sallallahu ‘alaihi wa sallam ada bersabda;

"Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan fahamkan dia dalam hal agama.” (Hadith direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

RasuluLlah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga ada bersabda;

“Barangsiapa yang menempuh jalan dalam rangka mencari ilmu (agama) maka Allah akan memudahkan untuknya jalan menuju syurga.” (Hadith direkodkan oleh Muslim)

Sekadar mengingatkan diri kerdil ini, usah merasa hebat dengan pencapaian hidup sebab dahulu kita pernah menimba ilmu di institusi pengajian tinggi yang popular, atau di pesantren aka maahad terkemuka.

Allah telah banyak memberi gambaran kepada kita dengan pelbagai kisah berlegar depan mata kita, kebanyakan mereka dahulunya menimba ilmu di pesantren atau maahad, namun ketika menyambung pengajian lebih tinggi berlaku perubahan. Dahulunya rajin mengaji bertukar kepada rajin menyanyi dan bergelek tayang tubuh (nauzubiLlah...)

Dahulunya rajin membaca dan mengkaji al-Qur’an terus berubah meneroka fesbok.

Dahukunya rajin membaca dan membeli serta menelaah buku agama langsung berubah dengan rajin membeli novel yang entah apa.

RasuluLlah sallallahu ‘alaihi wa sallam ada bersabda;

“Bersegeralah melakukan amal-amal sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita, di pagi hari seorang masih beriman tetapi tiba-tiba waktu petang hari menjadi kafir dan di waktu petang hari beriman lalu pagi harinya menjadi kafir. Dia rela menjual agamanya demi mengaut kesenangan (keuntungan) dunia.” (Hadith direkodkan oleh Muslim).

Oleh sebab itu wajar ke atas kita untuk menimba ilmu pengetahuan agar kita tidak sesat dan terbabas. Ingat! Dengan ilmu tersebut akan menyirami diri dan jiwa, ilmu tersebut akan menerangi jiwa kita dengan kebenaran dan memuliakan diri kita dengan keimanan serta mengangkat darjat kita.

Imam Ahmad ada berkata;

“Manusia jauh lebih memerlukan ilmu daripada keperluan mereka kepada makan dan minum. Ini kerana makanan dan minuman diperlukan dalam sehari sekali atau dua kali sahaja. Namun ilmu diperlukan sebanyak hembusan nafas”.

Ayuh carilah ilmu dari guru murshid. Ingat tu!

#syoknyabuku
#syukuratasnikmat
#berjuangterus
#dakwahsantai

Ulasan

Catatan Popular