BERFIKIR SECARA MELAMPAUI BATASAN


Bila mana berlaku kekhawatiran dalam hidup seharian meresap dalam fikiran, pastinya kita akan merasa berat kepala dan terasa sangat sulit mencari jalan keluar. Namun kita sering kali melupakan janji Allah yang setiap masalah pasti ada penyelesaiannya, antaranya  dengan memperbanyakkan istigfar.

Jadi usah terjebak dalam ruang lingkup berfikir secara berlebihan. Kerana bila berfikir secara overthinking, pastinya akan membebani jiwa kita. Penyelesaiannya, ayuh segera kita kembali kepada Allah dengan beristigfar.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda; 

“مَنْ أَكْثَرَ مِنْ الِاسْتِغْفَارِ؛ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ”

“Barang siapa memperbanyak istighfar; nescaya Allah memberikan jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka” 

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Ibnu Abbas dan sanadnya dinilaikan sahih oleh al-Hakim serta Ahmad Syakir.

Dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman ,

الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ اَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ ۗ

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang dan tenteram.” (Quran surah Ar-Ra’d : 28)

Setiap ungkapan lisan hasil dari membaca istigfar, kita menjemput rahmat dan selanjutnya mengundang kemudahan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala. 

Bila kita menyerahkan semua kerisauan yang sedang bermain dalam minda dan hati kita kepada-Nya dengan memperbanyak istigfar, kita akan membuka jalan ke arah kebahagiaan dan sudah pasti Allah lapangkan perjalanan  hidup kita. 

Allah kadangkala hendak mengajak kita untuk merenung sejenak bahawa kita adalah hamba perlu kepada pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Bila kita ingat Allah dengan memperbanyakkan zikir, pasti Allah akan memberikan kepada kita jalan keluar dari kesulitan dan rezeki dari arah yang tidak kita sangka.

Oleh yang demikian, marilah kita lazimkan lidah kita untuk sentiasa melazimi beristigfar  setiap hari. Maka dengan cara itu, hati kita akan tetap tenang dan jiwa kita benar-benar  yakin semuanya adalah rencana Allah. Dengan kata lain, kita mudah menerima takdir Allah Ta’ala dengan tenang. Semoga setiap doa dan permohonan kita kepada Allah pada setiap masa diterima dan setiap langkah kita diberkahi.

Kita ikut sahaja bacaan istighfar 100 kali yang diucapkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dikisahkan dalam Kitab Sunan Abu DaudAt-Tirmizi dan Ibnu Majah melalui hadith dari Ibnu Umar Radiyallahu anhu. Beliau mengatakan telah menghitung ucapan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam suatu majlis, baginda Sallallahu Alaihi Wasallam melazimi membaca 100 kali bacaan di bawah:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Raabbighfir lii watub 'alayya, innaka antat tawwaabur rahiim

Ertinya: "Ya Allah Tuhanku, ampunilah aku dan berikanlah taubat ke atasku, sungguh Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih."

Imam Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith hassan.

Ulasan

Catatan Popular